March 24,
TELUPID: Tindakan Jabatan Perhutanan Sabah untuk memusnahkan rumah penduduk Kg Bobotong disifatkan sebagai tidak bermoral dan bersikap “barbarian” atau tidak bertamadun.
Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (AGARAS) berkata jabatan itu jelas gagal memahami makna Tanah Adat yang tidak terletak di bawah sebarang enakmen atau undang-undang bertulis kerana lebih menjurus kepada undang-undang adat atau sejarah.
“Jika penduduk yang dituduh sebagai penceroboh, dakwa mereka di mahkamah. Bukannya tangkap mereka, bakar rumah mereka, musnahkan tanaman mereka atau halau mereka seperti haiwan. Bertimbang rasalah sedikit,” kata presidennya, Dato’ Michael Frederick.
Baru-baru ini Michael dan rombongannya telah meninjau keadaan 13 buah rumah dan pondok rehat yang dirobohkan oleh pihak Jabatan Perhutanan Tongod pada Khamis lepas, 16 Mac.
Mereka menyeru dan memohon kepada pihak Jabatan Perhutanan Sabah agar dapat menghormati tanah adat Anak Negeri Sabah yang terperangkap di dalam Hutan Simpan.
Menurut AGARAS, dari segi undang-undang jabatan itu tidak mempunyai locus standi untuk mendakwa Tanah Adat diwartakan sebagai Hutan Simpan dan diletak hak sebagai milik kerajaan.
“Dari segi pentadbiran memang benar mereka dipertanggungjawabkan menjaga hutan simpan, tetapi tanah adat bukanlah hutan simpan, sekalipun diwartakan sebagai Hutan Simpan.
Michael, depan, dan ahli-ahli AGARAS meninjau keadaan rumah yang dirosakkan oleh Jabatan Perhutanan Sabah minggu lepas.
“Mereka sewajarnya merujuk kepada keputusan mahkamah seperti mana dalam kes Imahit, di daerah Tenom. Jangan lagi menjadikan rakyat sebagai sasaran KPI mereka,” ujar Michael.
Beliau terkilan kerana Jabatan Perhutanan Tongod telah mengeluarkan notis kepada penduduk kampung yang dituduh menceroboh Hutan Simpan melalui surat bertarikh 23 Febuari 2016.
Melalui notis tersebut, Jabatan Perhutanan memberi amaran keras bahawa sesiapa yang memasuki Hutan Simpan Sg. Pinangah FMU 17B, Bobotong dan telah bercucuk tanam serta mendirikan bangunan/sulap, diberi notis 14 hari supaya keluar dari kawasan tersebut.
Jabatan Perhutanan mendakwa bahawa perbuatan memasuki Hutan Simpan Sg Pinangah dan bercucuk tanam serta mendirikan bangunan (sulap) adalah kesalahan di bawah Seksyen 20 (1) (b) (i) (ii) dan 20 (1) (c) (i) Enakmen Hutan 1968 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sesiapa yang didapati gagal mematuhi arahan notis ini selepas tempoh notis 14 hari berakhir, laporan polis akan dibuat dan tindakan diambil bersesuaian dengan Enakmen Hutan 1968.
“Sewajarnya sebelum Pegawai Perhutanan Daerah Tongod mengeluarkan notis tersebut, mereka harus memanggil wakil rakyat dan Pegawai Daerah untuk taklimat atau mesyuarat kerana yang akan dihalau keluar dari hutan simpan itu ialah anak Sabah dan pembayar cukai, bukan makhluk perosak,” kata Michael.
Tidak keprihatinan manusia. Jabatan Perhutanan salah menggunakan kuasa dan meremehkan undang-undang.
Beliau juga mempersoalkan cara tindakan tidak bermoral Jabatan Perhutanan Sabah merobohkan rumah dengan menggunakan chainshaw atau gergaji rantai ketika beberapa pemilik rumah sedang sibuk berkebun yang menyebabkan mereka terkejut dan hidup dalam ketakutan.
Beliau juga mempersoalkan cara tindakan tidak bermoral Jabatan Perhutanan Sabah merobohkan rumah dengan menggunakan chainshaw atau gergaji rantai ketika beberapa pemilik rumah sedang sibuk berkebun yang menyebabkan mereka terkejut dan hidup dalam ketakutan.
Menurut Michael, hanya Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah sahaja yang diberi kuasa di bawah Enakmen Hutan 1968 untuk melaksanakan perintah evakuasi.
Katanya sepanjang pengetahuan beliau tidak ada sebarang perwakilan kuasa diberikan kepada Pegawai Perhutanan Daerah.
“Jabatan Perhutanan tidak wajar mengambil tindakan di luar enakmen dan mentafsir undang-undang mengikut fahaman mereka sendiri kerana Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa seseorang warga negara seharusnya dianggap tidak bersalah, melainkan dibuktikan bersalah di mahkamah,” kata Michael.
Tambahnya, notis yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Daerah tidak sah kerana bercanggah dengan prinsip ‘delegatus non potest delegare’ (seseorang yang kuasa itu diturunkan kepadanya, tidak boleh menurunkan lagi kuasa yang sama kepada orang lain).
Namun kata Michael, jika kes mereka dihadapkan di depan pengadilan dan mahkamah berpuas hati bahawa penduduk di Tanah Adat ini melakukan pencerobohan di Hutan Simpan dan perintah evakuasi dikeluarkan, barulah Jabatan Perhutanan bertindak.
Jika tidak kata Michael, mereka telah menyalahgunakan kuasa dan meremehkan undang-undang serta menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong kerana Anak Negeri Sabah mempunyai hak-hak istimewa dan dilindungi di bawah Artikel 153, Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berharap agar Jabatan Perhutanan Sabah dapat memberikan pertimbangan dan menghentikan kerja-kerja merobohkan rumah penduduk kampung. Tindakan merobohkan rumah-rumah tanpa belas kasihan turut akan merosakkan imej kerajaan seperti di masa lalu,” katanya.
Jabatan Perhutanan akan meneruskan operasi untuk merobohkan 30 buah rumah lagi yang tidak membayar permit “Occupational Permit”.
AGARAS menyeru Kerajaan Sabah supaya membantu penduduk Kg.Bobotong di Tongod kerana mereka sudah menetap di kawasan tersebut selama empat generasi.
Penduduk kampung memohon agar kawasan yang mereka telah usahakan dalam keluasan lebih kurang 870 hektar dapat dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan sebagai Tanah Rizab Perkampungan.
Sumber : Borneo Today Net
Sumber foto : Datuk Michael Fredrick
No comments:
Post a Comment