Saya adalah manusia paling happy apabila mendengar pertama kali berita pembentukan Gabungan Sabah (GS).
Sebagai non-partisan, saya sentiasa menantikan saat ini akhirnya menjadi kenyataan atas permintaan ramai rakyat Sabah.
Saya nda pernah menolak apa saja agenda yang dianjurkan oleh GS, malah saya sangat bersetuju dengan apa jua yang diperjuangkan oleh GS terutamanya ia bagi saya sebagai dedikasi kejayaan DDJK dalam menyatukan beberapa bendera dalam satu wadah perjuangan sama.
Dalam sepanjang meniti perjalanan kearah PRU14, sebagai pemerhati politik, saya hanya melihat terdapat keperluan-keperluan penting yang harus dijalankan setelah wujudnya GS serta objektifnya antaranya adalah penyatuan total.
***
Kewujudan Parti Warisan Sabah menjadi suatu titik tragedi kepada GS yang memperlihatkan BN mula semakin senang bekerja kerana berlakunya pertembungan, politik kebencian berlaku malah saling kecam-mengecam sehinggakan rakyat mula berbelah bahagi.
Saya faham GS adalah 'senior' untuk bersatunya pemimpin Sabah, tindakan Warisan memilih menjadi 'gabungan rakyat' telah mencetuskan satu lagi fenomena perpecahan dikalangan penyokong rakyat Sabah dan telah menjadi buah mulut rakyat Sabah di mana rakyat mula membandingkan jenama GS dan jenama Warisan.
Salah menyalahkan tidak berhenti sewaktu pengenalan Warisan di Sabah, malah GS dan Warisan saling bercakaran sehinggalah tirai Parlimen ditutup.
Apa yang menjadi kerisauan saya sebagai rakyat 'atas pagar' serta pemerhati politik Sabah adalah apabila perpecahan undi akan berulang jika merujuk keputusan PRU13 lalu di mana memperlihatkan beberapa siri 'pecah undi' yang sangat-sangat mengecewakan rakyat Sabah.
***
Saya tetap masih positif dan yakin SUATU MASA, GS akan bersatu dengan Warisan, walau tidak perlu masuk antara satu sama lain, dengan adanya pakatan pembangkang. Malangnya sehingga penamaan calon lepas, segala harapan dari rakyat yang benar-benar ingin melihat BN UMNO tumbang mungkin tidak kesampaian.
Apa saja usaha daripada saya atau sahabat sekeliling cuba mengugut parti-parti politik berpengaruh yang melawan BN UMNO suoaya bersatu dengan menjalankan kempen #UndiRosak disalah ertikan sehingga ada yang melabel kami sebagai ejen BN UMNO. Edukasi penyatuan cuba dibuat namun gagal, doktrin setiap 'gabungan' ini semakin mendalam sehingga mewujudkan penyokong yang agresif, obses dan extremis akhirnya memaksa diri saya untuk menulis setiap pemerhatian saya terhadap satu-satu gabungan yang wujud di Sabah.
***
Saya akui, banyak penulisan saya ke arah GS, ini adalah hasil dari merespon mereka-mereka yang sangat obses sehingga mengecam kempen perpaduan saya iaitu kempen #UndiRosak #NoUnityNoVote. Saya agak kecewa kerana niat membawa penyatuan disalah ertikan sepertinya saya persis tukang kempen #undirosak di Malaya.
*Perlu diingatkan kempen undi rosak di Malaya dan di Sabah sangat jauh berbeza, tidak akan ada undi rosak, JIKA BERLAKU PENYATUAN TOTAL.*
Saya faham, saya telah terlambat dalam memberi edukasi yang kuat pada semua, kapasiti saya tidak sebegitu kuat dalam menusuk makna penulisan saya di sanubari setiap rakyat yang membacanya, pasti saja ada yang terus mengecam kerana saya seperti PENDOSA cuba mendesak mereka yang kononnya telah bergabung ini melakukan penyatuan sekali lagi.
Saya akui, saya gagal mendesak, dan saya sedikit bercampur rasa syukur kerana agak ramai Sabahan di sekeliling saya mulai faham akan usaha kempen #UndiRosak di Sabah tercinta. Matlamat kita hanya satu. Mahukan KESATUAN TOTAL.
***
Apa yang mengecewakan bagi saya adalah, keengganan ke dua gabungan berpengaruh ini untuk melakukan penyatuan disebabkan perbezaan doktrin yang mereka perjuangkan. GS memperjuangkan agenda Borneo, manakala Warisan memperjuangkan kesamaan yang mana semestinya GS tidak akan mempersetujuinya disebabkan faktor pengaruh sentimen PTI dan Projek IC merupakan diantara perjuangan yang diangkat dalam Agenda Borneo.
***
Dengan rendah diri, pandangan peribadi saya, melakukan kesatuan total di Sabah sudah jatuh hukum WAJIB, apapun berlaku BN UMNO harus tumbang. Akibat perbezaan doktrin yang amat mendalam ini, muncul penyokong extremis yang terus-menerus cuba menyuntik pelbagai sentimen selama beberapa tempoh agak lama sebelum bubarnya parlimen Malaysia.
Saya sentiasa menyarankan dalam penulisan saya agar, pihak atasan, AMT GS mahupun Warisan bahawa mereka harus jaga penyokong mereka, didik mereka menjadi penyokong yang dihormati dan disegani. Malangnya peperangan siber sangat sengit sehingga muncul perkataan/label baharu yang membuatkan Sabahan semakin tenat sehingga berlaku perpecahan.
GS melabel Warisan Parti Lanun, Warisan pula melabel GS parti rasis sampai tiada penghujungnya. Inilah antara punca terbesar doktrin semakin mendalam kerana masing-masing punya penyokong yang meneriakkan slogan mereka sampai ditelinga rakyat marhein. Rakyat marhein sudah pasti mempunyai latarbelakang berbeza akan berpecah kerana mereka akan mengangkat siapa yang menyebelahi mereka.
Seruan PTI dan Lanun serta Projek IC dalam kempen GS oleh penyokong mereka bagi saya kurang bijak, kerana kita masih menjunjung Perlembagaan Malaysia, buktinya kita terpaksa bersaing dalam Pilihan Raya Umum ke 14 untuk membina kerajaan baru mahupun kerajaan yang sama. Melabel menggunakan kiasan 'keturunan lanun/pendatang/projek ic' memperlihatkan GS bakal kehilangan sokongan daripada mereka yang berkaitan. Walaupun amat mudah bagi penyokong berkata, 'kalau rakyat Sabah, buat apa terasa', mempunyai asas di situ, Sabah MASIH mempunyai isu kerakyatan yang amat kompleks. Akhirnya sesiapa sahaja yang popular atau majoriti diketahui bangsa mereka paling ramai mendapat kerakyatan baru akan mudah terasa walaupun ada antsra mereka memang bena sudah lama di Sabah.
***
Berbalik pada menjunjung Perlembagaan Malaysia, saya percaya. Sesiapa sahaja yang dilabel 'keturunan pti/projek ic' TETAP mempunyai hak untuk mengundi sebagai rakyat Malaysia. Maka, terlihatlah kelemahan sokongan akan berlaku jika hanya GS mengharapkan kerusi yang mempunyai ramai penduduk hanya KDMR sahaja.
***
Sayangnya saya pada GS dengan mengharapkan ada penyatuan bersama Warisan malah PH kerana hanya satu sebab iaitu TUMBANGKAN BN, ADA KUASA, LAKUKAN APA YANG DIINGINKAN. Malangnya Warisan/PH memperlihatkan kesombongan seperti mengendahkan kemampuan pengaruh GS di Sabah ini.
***
Oleh yang demikian, saya secara berat hati menolak ke dua-dua gabungan ini malah KESEMUA parti yang melawan BN akibat berlakunya pertandingan pelbagai penjuru sebagai memberi peluang kepada BN mendapatkan kuasanya semula.
***
Untuk berpakat dan bersatu, kadangkala kita harus membuang sementara apa yang saja perjuangan yang membuatkan tidak berlakunya penyatuan mahupun pakatan. Seharusnya setiap parti yang berpengaruh merendahkan ego masing-masing demi mencapai matlamat menumbangkan BN, dan bukannya memecahkan undi. ADA KUASA DULU BARU BUAT KERJA. itu yang saya sangat percaya.
***
Saya akan terus menyalahkan semua parti politik yang berpengaruh tetapi tidak mau melakukan penyatuan total dan mereka akan bertanggungjawab jika BN menjadi kerajaan semula di Sabah, sebaliknya jika 'Kun Faya Kun' BN UMNO tumbang dengan takdir-NYA, maka saya dengan rendah hati bersedia memohon maaf sebanyak-banyaknya serta mengakui kesilapan saya.
***
All the best Gabungan Sabah mahupun sesiapa sahaja bertanding dalam PRU14 ini, inilah indahnya Sabah penuh dengan pelbagai ragam manusia di dalamnya. Selepas PRU14, siapapun kerajaan mahupun pembangkang, anda tetap punya elaun, rakyat pula tetap meneruskan kehidupan harian, yang menang kerusi, berusahalah sebaik mungkin memberi khidmat terbaik pada rakyat
Rakyat sebenarnya mudah, cukupkan mereka melalui hak mereka, rakyat tidak akan minta lebih-lebih. Saya tahu kerana sayalah rakyat itu.
Sekadar menulis.
#NoUnityNoVote
#UndiRosak
#Caps
#UndiRosak
#Caps
No comments:
Post a Comment